Jom Lihat Kehidupan Harian Penduduk Setinggan Tanah Kubur Di Manila

MANILA, bandar raya pesat membangun, padat dengan penduduk, gamat dengan hiruk-pikuk kenderaan, tidak kurang juga menjadi saksi kepada pelbagai penderitaan.

Ibu negara Filipina itu dihuni kira-kira 11 juta penduduk. Namun, tidak kesemuanya berupaya menikmati kepesatan pembangunan di situ. Lebih satu pertiga penduduk di bandar raya Manila hidup di bawah garis kemiskinan. Jurang kemiskinan antara yang kaya dan miskin amat ketara dan boleh dilihat di mana-mana.
Jika orang kaya di situ bermegah dengan Manila Bay, golongan miskin pula merempat - menjadi setinggan, mengutip sampah sarap dan sanggup membuat apa sahaja demi kelangsungan hidup menjadikan bandar raya itu sarang jenayah yang tidak dirancang.

Kesengsaraan golongan miskin bukan sekadar menyebabkan mereka merempat di lorong-lorong kecil mahu pun di pinggir-pinggir bandar, malah lebih daripada itu. Bayangkan lebih 10,000 warga kota raya itu menjadikan perkuburan sebagai rumah mereka. Bukan rumah sementara, bukan juga untuk diri sendiri. Tetapi Manila's North Cemetery menjadi rumah kekal lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk televisyen, set karaoke, dapur memasak dan pelbagai lagi. Penghuninya terdiri daripada datuk, bapa, ibu, anak malah cucu serta cicit.

Kawasan perkuburan seluas lebih 40 hektar itu redup dilitupi pokok-pokok dan diceriakan dengan bunga raya bermakna kemerahan manakala jalan masuk ke situ sentiasa dibersihkan oleh pekerja bandar raya.

Namun keadaan di dalam kawasan perkuburan itu membawa cerita yang berbeza selain cerita mereka yang telah mati dan mereka yang masih hidup tinggal bersama seolah-olah tiada apa yang membezakan antara kedua-duanya.
North Cemetery merupakan antara kawasan perkuburan terbesar dan tertua di Manila. Di situ tersemadi jasad tiga presiden negara itu. Namun desakan serta tuntutan hidup di bandar raya itu mengubah kubur menjadi rumah. Segala-galanya bermula apabila waris si mati yang kaya-raya menggaji penjaga kubur untuk memastikan tiada gangguan atau pencerobohan di kubur keluarga mereka. Ini kerana tradisi penduduk negara yang majoriti beragama Katholik itu menyaksikan upacara pengkebumian turut diiringi emas dan harta benda. Biar pun kubur sering dikaitkan dengan suasana menyeramkan dan tidak ramai yang berani datang dekat, namun tarikan emas dan barangan berharga terutamanya dalam keadaan hidup amat tertekan menjadikan tanah perkuburan tumpuan penjenayah.
Sebagaimana pesatnya pembangunan Manila, tanah perkuburan itu turut mengalami perubahan. Kini terdapat tempat bermain bola keranjang, gerai makanan segera dan pasar raya mini yang dibina di sekitar kawasan tersebut. Adakalanya pasukan sukarelawan datang mengajar kanak-kanak di situ, bagaimanapun pengunjung tidak dialu-alukan.
Ada yang tinggal di situ sejak tahun 1960-an lag berperanan sebagai penjaga kubur termasuk untuk bekas presiden antaranya Manuel Roxas.
Perasaan takut terutama pada waktu malam hanya timbul ketika mula-mula mendiami kawasan tersebut. Kini penjaga kubur di situ lebih curiga dan takut kepada orang hidup. Lantaran orang hidup seperti penagih dadah dan perompak sentiasa mengintai peluang mencuri barangan berharga di situ sekali gus mengancam keselamatan nyawa 'penduduk' di tanah perkuburan berkenaan.













0 Komentar untuk "Jom Lihat Kehidupan Harian Penduduk Setinggan Tanah Kubur Di Manila "

 
Copyright © 2014 the rock - All Rights Reserved
Template By Catatan Info