KLANG –
Misteri kehilangan coli dan seluar dalam wanita di sekitar Taman Seri
Bahagia di sini terungkai selepas polis menahan seorang lelaki berstatus
duda dan menemui pelbagai pakaian dalam itu di rumah suspek di Jalan
Temeggung 20, Off Jalan Sungai Jati, Taman Seri Bahagia di sini pukul 11
malam, Isnin lalu.
Perbuatan
pelik dan tidak bermoral duda berusia 35 tahun itu terbongkar selepas
jirannya membuat laporan kehilangan pelbagai peralatan rumah bernilai
RM5,000 pada 19 Februari lalu.
Ketua Polis
Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata,
pihaknya menerima aduan mengenai kehilangan peralatan elektrik daripada
seorang pengadu di Taman Seri Bahagia di sini.
Katanya,
antara barangan yang dilaporkan hilang adalah set televisyen, cerek
elektrik, kasut jenama Adidas, beg, kamera, mesin jahit, mesin pencetak,
seterika, kipas meja dan banyak lagi dengan jumlah kerugian RM5,000.
“Bertindak
atas maklumat, polis telah menyerbu sebuah rumah di taman tersebut pukul
11 malam pada Isnin lalu dan menahan seorang duda yang berasal dari
Perak.
“Pemeriksaan
lanjut mendapati, lelaki itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan
dia juga merupakan jiran pengadu dalam kes ini,” katanya ketika
dihubungi di sini semalam.
Mengulas
lanjut, Kamarul Zaman memberitahu, pemeriksaan dalam rumah suspek
mendapati, barang-barang milik pengadu yang hilang ditemui di rumah duda
berkenaan.
Menurutnya, turut ditemui adalah pelbagai baju dan seluar dalam wanita dengan jumlah yang banyak dalam rumah terbabit.
“Kita syak, suspek telah mencuri seluar dan coli di ampaian lebih kurang 50 buah rumah di sekitar Taman Seri Bahagia ini.
“Hasil
siasatan awal, kita dapati suspek yang bertindak berseorangan mencuri
seluar dan coli tersebut adalah untuk bahan koleksi sahaja,” ujarnya.
Bagaimanapun
kata beliau, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti sama
ada suspek turut terlibat dengan kes pecah rumah dan lelaki itu ditahan
reman selama empat hari bermula semalam.
Kosmo Online
0 Komentar untuk "Lelaki Duda Pencuri Coli Dan Seluar Dalam Wanita Ditangkap"