Bos Coklat Ferrero, Lelaki Terkaya Di Itali Meninggal Dunia




MILAN – Pemilik empayar kilang coklat terbesar di dunia dan juga manusia paling kaya di Itali, Michele Ferrero, meninggal dunia pada Sabtu dalam usia 89 tahun, menurut kenyataan rasmi syarikat kumpulan Ferrero SpA di sini pada Ahad.

Kematian beliau di rumahnya di Monaco bakal menyaksikan anak bongsunya, Giovanni, 51 tahun; menerajui gergasi coklat dunia itu setelah anak sulungnya, Pietro Jr., maut akibat serangan jantung ketika berbasikal di Afrika Selatan pada 2011.

Kumpulan Ferrero yang ditubuhkan oleh mendiang bapanya, Pietro di Alba, Itali pada 1946 sebagai syarikat perniagaan keluarga kini mencatat jualan tahunan lebih 8 bilion euro (RM33 bilion) dan memiliki hampir 23,000 pekerja di seluruh dunia.



Syarikat itu pada asalnya mengeluarkan makanan coklat kacang hazelnut sebelum dijenamakan semula sebagai Nutella yang laris sejak 1964, hari ini mempunyai 18 buah kilang serta mengeksport pelbagai produknya ke 160 buah negara.

Presiden Itali, Sergio Mattarela yang amat terperanjat dengan berita kematian secara mengejut Michele selepas beberapa bulan terlantar sakit, menyifatkan mendiang sebagai memang dilahirkan berbakat keusahawanan semula jadi.

Biarpun Michele adalah individu terkaya di Itali dengan nilai kekayaan AS$27 bilion (RM96.8 bilion) mengatasi taikun media, Silvio Berlusconi sejak 2008, mendiang dikenali sebagai amat pemurah menerusi inisiatif tanggung jawab sosial korporat.



Majalah ternama Forbes dan stesen penyiaran perniagaan terkenal Bloomberg pada 2014 menamakan Michele dalam kelompok 20 individu terkaya di dunia namun, mendiang disegani kerana cukup berahsia mengenai resepi produk syarikat.

Kekayaan Michele menyaksikan beliau setiap hari hanya perlu menaiki helikopter dari vila kediamannya di Monte Carlo, Monaco ke ibu pejabat Ferrero di Alba sejauh 243 kilometer untuk merasai dan mencipta sendiri setiap ramuan keluaran baharu.

Pada 2013, anak keduanya, Giovanni menafikan spekulasi kononnya Ferrero akan dibeli oleh Nestle, gergasi makanan terbesar dunia berpusat di Switzerland selepas kematian abangnya, Pietro Jr. sebagai ketua pegawai eksekutif dua tahun sebelum itu.

Khabar angin bertiup kencang menyatakan Ferrero yang kini popular menerusi jenama Nutella, Mon Cheri, Kinder Chocolate, Ferrero Rocher, Tic Tacs dan Kinder Eggs akan dijual kepada Nestle ekoran Giovanni tidak berminat dengan syarikat itu. – Agensi


0 Komentar untuk "Bos Coklat Ferrero, Lelaki Terkaya Di Itali Meninggal Dunia"

 
Copyright © 2014 the rock - All Rights Reserved
Template By Catatan Info